KPKT bantu 137 graduan prospek dapatkan kerja lepas tamat hukuman

Mesyuarat Penyelarasan Aktiviti ILB 2024

SERDANG - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) berjaya membantu 137 graduan prospek mendapatkan pekerjaan selepas tamat hukuman.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M Noor Azman Taib berkata, melalui program Sinar Di Sebalik Tirai Besi, pelatih prospek akan mengikuti kursus latihan amali dan teori sebelum memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Ujarnya, program tersebut dilaksanakan bagi melahirkan tenaga kerja dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh asing. 

“Seramai 137 orang prospek telah berjaya dalam temu duga dan bakal memulakan kerjaya di syarikat konsesi sebagai pekerja pembersihan di tujuh negeri yang dikawal selia oleh SWCorp pada Jun 2024.

“Matlamat jangka panjang program ini adalah untuk mengurangkan kebergantungan industri daripada terus mengambil pekerja asing dan memberi keutamaan tenaga mahir dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Menerusi kerjasama antara KPKT, SWCorp, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Penjara Malaysia berupaya membuka lembaran baharu membangunkan modal insan dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam kepada prospek,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Konvokesyen SWCorp Kali Ke-3 (Sijil Kemahiran Malaysia) di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini pada Selasa.

Selain itu, antara agensi yang turut sama bergraduat termasuk penyelia dan pekerja daripada Syarikat Konsesi Alam Flora Sdn Bhd, SWM Environment Sdn Bhd serta Environment Idaman Sdn Bhd termasuk warga kerja SWCorp.

Mengulas lanjut, menurut M Noor Azman, dengan melaksanakan pelbagai inisiatif, negara mampu mencapai sasaran 10,000 orang pekerja sektor berkenaan menjelang tahun 2030.

Image
Image
TIKTOK SWCORP
(VIDEO)



Tambah beliau, hasrat tersebut mampu dicapai dengan mengoptimumkan latihan dan kerjasama strategik antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan bukan kerajaan (NGO).

“SWCorp kini sedang giat untuk melaksanakan inisiatif baharu dalam Pensijilan Kemahiran Malaysia yang menggunakan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam (PSPPA) melalui kerjasama strategik pelbagai agensi,” jelasnya.

Sementara itu, menurut prospek yang berjaya meraih anugerah graduan terbaik, Ahmad (bukan nama sebenar), 53, bersyukur diberikan peluang kedua untuk memulakan pekerjaan baharu selepas tamat hukuman.

Ujar bekas chef eksekutif itu, sepanjang mengikuti kursus, dia melihat prospek pengurusan sisa pepejal mempunyai potensi yang luas untuk dimajukan.

“Pengurusan sisa pepejal mempunyai prospek yang besar dan bidang ilmu yang boleh dimajukan pada masa depan,” katanya.