CYBERJAYA, 19 Ogos 2026 – Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama The Chartered Institute of Logistics and Transport Malaysia (CILTM) telah melaksanakan Bengkel Pemetaan dan Pengesahan NOSS–CILTM bagi Pengiktirafan Profesional dalam Bidang Pengangkutan, Logistik dan Rantaian Bekalan pada 17 hingga 19 Ogos 2026 di Cyberview Hotel Resort & Spa.
Bengkel ini dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato ChLT Ts (Dr) Abd Radzak Abd Malek Hon FCILT dan berlangsung selama tiga hari. Seramai 40 orang wakil yang terdiri daripada profesional CILT, pakar industri dan pegawai JPK bagi melaksanakan pemetaan secara bersama antara Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) dengan silibus serta keperluan pensijilan profesional CILT.
Inisiatif ini merupakan langkah strategik JPK dan CILTM untuk menghubungkan kerangka kemahiran kebangsaan dengan kerangka pensijilan profesional antarabangsa. NOSS berperanan sebagai standard kompetensi pekerjaan berasaskan keperluan industri dan menjadi asas kepada Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM), manakala CILT menyediakan kerangka pengiktirafan profesional khususnya dalam bidang pengangkutan dan logistik.
Sepanjang bengkel, peserta memberi tumpuan kepada 20 NOSS melibatkan empat kluster utama iaitu Road, Rail, Air dan Maritime. Proses pemetaan dilaksanakan secara objektif dengan meneliti skop pekerjaan, tahap kompetensi, hasil pembelajaran serta kandungan NOSS dan silibus CILT bagi mengenal pasti tahap kesepadanan dan jurang kompetensi antara kedua-dua kerangka.
Antara objektif utama bengkel ialah mengenal pasti dan memetakan kesepadanan kompetensi antara NOSS dengan silibus, standard serta keperluan profesional CILTM; mengesahkan tahap kesetaraan berdasarkan skop pekerjaan dan keperluan industri; serta menentukan tahap kelayakan dan laluan pengiktirafan profesional CILTM yang bersesuaian bagi pemegang SKM, DKM dan DLKM berdasarkan hasil pemetaan yang dipersetujui.
Pemetaan ini berpotensi menjadi asas kepada pembentukan satu professional progression pathway, yang membolehkan individu berkembang daripada pekerja mahir kepada peringkat pengurusan, profesional dan seterusnya sebagai pakar industri.
Hasil bengkel ini akan menjadi asas kepada tindakan susulan JPK dan CILTM dalam meneliti potensi pengiktirafan serta pembangunan laluan pensijilan profesional bagi NOSS yang mempunyai kesetaraan kompetensi. Usaha ini dijangka dapat memberi nilai tambah kepada pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM), sekali gus memperkukuh TVET dan bidang kemahiran sebagai laluan kerjaya profesional yang mempunyai prospek perkembangan yang lebih jelas.



