SEPANG, 13 JULAI 2026 – Gemuruh getaran perubahan amat dirasai apabila dewan Gateway Ballroom, Hotel Sama-Sama, Sepang bertukar menjadi medan pertembungan minda dinamik sempena Majlis Amanat Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bersama Pengurusan Badan Peneraju Industri (Industry Lead Body - ILB) seluruh negara. Kehadiran hampir 100 orang pengurusan tertinggi ILB telah menghidupkan sesi Jamuan Petang (Hi-Tea) sebagai platform interaksi dua hala yang sangat rancak, telus, dan sarat dengan perkongsian idea strategik. Dalam ucaptamanya, Yang Berusaha Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman bin Hj. Md. Ali menyalakan obor kesedaran baharu dengan menegaskan satu prinsip asas: seluruh unjuran pasaran kerja sedia ada tidak boleh dibiarkan kaku, kerana apabila data telah ada, ia hanya akan menjadi benar-benar bermakna apabila ianya digunakan dan distrategikan secara tuntas bagi mencapai matlamat yang diinginkan.
Langkah menyusun strategi kemahiran berimpak tinggi ini dipandu lurus oleh lima teras utama Agenda [R]evolusi TVET JPK 2026-2030. Melalui teras Industry-Led, pengurusan tertinggi ILB diseru memainkan peranan sebagai nakhoda utama di bawah Dasar TVET Negara 2030 untuk merapatkan jurang antara dasar dan pelaksanaan. Sehubungan itu, KP JPK meletakkan penegasan konkrit menggesa seluruh ILB untuk memanfaatkan sepenuhnya pengaruh perundangan Akta dan mandat industri sedia ada di bawah naungan sektor masing-masing bagi mewajibkan pemilikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM Tahap 1 hingga Tahap 5) sebagai (recruitment mandate) ke sektor industri masing-masing. Beliau mengingatkan secara tegas bahawa dokumen Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) bukanlah dokumen 'syok sendiri' untuk arkib jabatan, sebaliknya wajib dijadikan syarat teknikal mandatori di lapangan. Komitmen pemerkasaan ini dibuktikan melalui kisah kejayaan nyata, seperti LB JPJ (190 pelatih program ADi di bawah NOSS Sinergi O841-005S-3:2025),ILB JBPM (NOSS Sinergi O842-015S-4:202 dan O842-015S-3:2025), ILB JLM (pertimbangan kenaikan pangkat 200 kakitangan di bawah SSPA hasil pengiktirafan Diploma Kemahiran Malaysia JPK), serta ILB SPAN (Akta 655) yang secara tegas mewajibkan operator loji rawatan air memiliki pensijilan JPK mengikut NOSS sebelum dibenarkan beroperasi sekali gus menandakan pelantikannya sebagai ILB ke-34 JPK.
Bagi memastikan keberkesanan ini dipantau secara adil, JPK menyusun strategi pemantauan bersepadu melalui Dashboard KPI MySPIKE berteraskan enam kriteria utama bagi merawat jurang kolaborasi ad-hoc yang selama ini mengakibatkan 45.4 peratus ILB tidak memperbaharui lantikan sebelum ini. Sinergi murni ini diperhebatkan lagi oleh JPK melalui Bahagian Hubungan Industri & Kerjasama Strategik (BHIKS) menerusi Program [R]ACE-ILB 2026 bersama industri naungannya bagi memacu pengiktirafan 10,000 pekerja industri berpengalaman dipersijilkan dengan SKM Tahap 1 hingga Tahap 3 secara PPT. Akhirnya, seluruh usaha ini dijajarkan untuk mengangkat maruah kemahiran tempatan melalui penawaran Gaji Premium yang bermaruah di lantai industri, dengan sasaran permulaan minimum RM2,500 bagi lulusan SKM Tahap 3 dan RM4,000 ke atas bagi pemegang Diploma (DKM/DLKM).



