PUTRAJAYA, 9 JULAI 2026 – Sesi Kunjung Hormat Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran, YBrg. Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman bin Hj. Md. Ali ke Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC), Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) hari ini telah disambut mesra oleh Pengerusi IMPAC, YBhg. Dato' Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman bersama Ketua Eksekutif IMPAC, YBrs. Puan Nazatul Niza Nordin. Sinergi strategik ini dijajarkan terus bagi menyokong Dasar TVET Negara 2030 serta mendukung aspirasi Agenda [R]EVOLUSI TVET 2025–2030 dalam mengangkat sektor perladangan sebagai bidang keutamaan bertaraf tinggi (High Growth High Value - HGHV).
Pertemuan meja bulat ini membincangkan langkah proaktif bagi mengatasi krisis kekurangan hampir 40,000 pekerja mahir sawit yang menjejaskan Dasar Keterjaminan Makanan negara. Sebagai solusi konkrit, Ketua Pengarah JPK menggesa pihak KPK meletakkan dasar keperluan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sebagai syarat wajib bagi kelayakan pengambilan pekerja mahir dalam industri perladangan. Langkah tegas ini sangat penting untuk menoktahkan kebergantungan berterusan kepada buruh asing. Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan serta penambahbaikan standard NOSS perladangan mestilah sentiasa selari dengan output pensijilan pekerja mahir di lapangan bagi memastikan impak pelaburan latihan yang nyata.
Melangkah ke hadapan, ILB IMPAC komited memperkukuh jalinan kerjasama dengan semua pemain industri utama di bawah agensinya, khususnya dalam sektor sawit, kayu, getah, kenaf, koko dan lada hitam. Kerjasama strategik ini akan terus diperluas bersama peneraju perladangan sawit negara termasuk SD Guthrie, FGV, Sarawak Plantation Berhad, Genting Plantations, dan Sawit Kinabalu. Bagi mempercepat pensijilan secara inklusif, IMPAC akan mempertingkat guna pakai keseluruhan ekosistem Sistem Pensijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) yang menggabungkan tiga mod utama iaitu SLaPB, ADI, dan PPT, termasuk pengenalan latihan modular (Micro-Credential) bagi membekalkan rantaian bakat tempatan yang kompeten menjelang tahun 2030.



