CYBERJAYA, 8 JUN – Satu perbincangan strategik telah diadakan bagi memperhalusi draf Garis Panduan Pengurusan Akhir Hayat Bateri Kenderaan Elektrik (xEV). Sesi ini dipengerusikan oleh Ketua Penolong Pengarah (Unit Pengurusan ILB, BHIKS) JPK, Encik Mohamad Faisal bin Abdullah, dan turut dihadiri oleh Pengurus Kanan MGTC, Puan Rozana binti Yusoff; Pakar Teknikal MGTC, Ts. Roslina binti Muhammad; Pengurus Kanan (Aftermarket Sustainability) MARii, Ts. Siti Maisarah binti Mohd Pisal; Pengurus (Aftermarket Sustainability) MARii, Encik Alihafiz bin Muhamad; serta Penolong Kanan Pengarah (Unit Pengurusan Kurikulum) BSPKTVET, Ts. Faizatun Izzah binti Zohedi bagi input teknikal. Dalam pertemuan ini, sesi pembentangan utama bagi memperincikan draf Garis Panduan serta ekosistem kitaran bateri xEV telah disampaikan oleh Pengurus Kanan MGTC, Ts. Dr. Abdul Hakim bin Abdul Rahim. Memandangkan pendedahan kepada bateri bervoltan tinggi amat berisiko jika dikendalikan tanpa tauliah, semua pihak menyasarkan pemilikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 sebagai syarat wajib bagi pekerja dalam proses ujian dan penilaian bateri.
Sebagai langkah pelaksanaan segera, satu bengkel pemadanan kemahiran akan dianjurkan dalam masa terdekat antara BSPKTVET, BHIKS, MGTC dan MARii bersama pakar dan industri yang berkaitan bagi merangka program Sijil Modular atau NOSS Sinergi yang khusus. Pembangunan ini akan mengambil kira NOSS sedia ada seperti TP-033-3:2015 (Pembuatan Semula Komponen Kenderaan) dan E383-001-3:2018 (Kenderaan Tamat Hayat/ Salvage) serta job demand yang menyentuh industri akhir hayat bateri sektor Automotif, BESS dan e-waste. Inisiatif ini amat penting demi memperkasa tenaga kerja tempatan yang kompeten, di samping menyokong ekosistem kelestarian teknologi hijau negara selari dengan aspirasi RMKe-12.
