SEPANG, 3 April 2026 – Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) terus komited memacu landskap kemahiran negara dengan penganjuran Mesyuarat Kerja Pengumpulan dan Perkongsian Data Bersama Badan Peneraju Industri (ILB) 2026 bertempat di Hotel Sama-Sama, Sepang. Mesyuarat strategik ini telah mendapat sokongan penuh pihak industri dengan kehadiran seramai 80 orang wakil daripada 30 buah ILB.
Majlis telah dirasmikan oleh YBrs. Ir. Ts. Dr. Azmi bin Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JPK. Senada dengan amanat Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran (KPPK) semasa Mesyuarat Kerja bersama agensi strategik JPK seperti DOSM, ILMIA, Kementerian Ekonomi, Kapten Industri dan agensi Koridor pada 13 Februari lalu, beliau menegaskan bahawa peralihan fokus perancangan TVET menjelang RMK-13 kini berteraskan keperluan sebenar industri (Demand-Side) dan dipacu oleh data yang konkrit.
Menerusi sesi Focus Group Discussion (FGD), perbincangan telah tertumpu kepada tiga agenda utama, iaitu penyelarasan definisi permintaan pasaran, pengauditan ketersediaan data agensi, serta merangka mekanisme integrasi yang telus dan selamat.
Berkaitan dengan Papan Pemuka Kriteria ILB, JPK turut memaklumkan bahawa ia kini dalam proses pembangunan. Papan Pemuka Kriteria ILB ini direka secara adil bukan untuk menghukum, sebaliknya bertindak sebagai "Matlamat Bersama" (Shared Goals) demi mencapai sasaran TVET negara secara kolektif. Segala data industri yang disepadukan ini kelak akan menjana Peta Bakat Nasional (Talent Heatmap) bagi menyokong aspirasi Ekonomi Bernilai Tinggi (HGHV). Langkah ini penting bagi memastikan graduan TVET negara dapat diserap ke pasaran kerja dengan penawaran gaji yang lebih premium.
Pihak JPK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas komitmen jitu seluruh delegasi. Mengambil keberkatan bulan Syawal, pihak Jabatan juga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.
"Mengupayakan Kompetensi, Memacu Pertumbuhan Negara"
#ILBJPK #[R]EvolusiTVET
#[R]ACEILB2026 #TVETMalaysia #PekerjaMahir



