10 Februari 2026, PUTRAJAYA – Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) melalui Bahagian Hubungan Industri dan Kerjasama Strategik (BHIKS) telah menganjurkan Program Penyelarasan Aktiviti Bersama Agensi Kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran Tahun 2026 bertempat di Pulse Grande Putrajaya.
Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), JPK, Ir. Ts. Dr. Azmi bin Ahmad. Penganjuran program ini menjadi platform libat urus strategik yang menghimpunkan wakil agensi kerjasama di bawah Memorandum Persefahaman (MoU), Badan Peneraju Industri (ILB) serta barisan pengurusan JPK bagi memperkukuh kolaborasi pembangunan kemahiran negara.
Program ini dimulai dengan pembentangan perancangan program di bawah BHIKS, JPK yang merangkumi hala tuju pelaksanaan aktiviti kerjasama industri dan pemerkasaan pelaksanaan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM). Turut dibentangkan ialah Projek Pemerkasaan Data Raya TVET oleh Unit Pengurusan Maklumat (UPM-PPA), JPK yang memberi fokus kepada penyelarasan data berkaitan pembangunan tenaga mahir dan keperluan industri secara lebih bersepadu.
Program ini turut menampilkan sesi pembentangan oleh agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) iaitu Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), Human Resource Development Corporation (HRD Corp), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK). Sesi ini memberi pendedahan berhubung inisiatif, pembiayaan, perlindungan sosial serta perancangan pembangunan bakat yang boleh dimanfaatkan oleh pihak industri dan penyedia latihan. Sesi terakhir merupakan sesi soal jawab bersama panel daripada TalentCorp, HRD Corp, PERKESO dan PTPK bagi membuka ruang perbincangan dua hala secara langsung.



