BPKLP & LPNM : MEMPERKASA TVET SEKTOR NANAS NEGARA MELALUI SISTEM PERSIJILAN KEMAHIRAN MALAYSIA (SPKM)

5 Februari 2026 (Khamis) | Satu mesyuarat strategik telah berlangsung di JPK Cyberjaya yang melibatkan kolaborasi erat antara Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bagi memperkasakan ekosistem latihan kemahiran sektor nanas.

Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Pengarah BHIKS, Pn. Rosnoizam binti Abd Majid dan turut dihadiri oleh wakil-wakil daripada Bahagian Hubungan Industri dan Kerjasama Strategik (BHIKS), Bahagian Pentauliahan dan Bahagian Standard Pekerjaan dan Kurikulum Kebangsaan (BSPKTVET). Turut serta adalah wakil daripada ILB Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Latihan Pertanian (BPKLP), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Fokus Utama Kerjasama:

i. Hab Latihan Nanas Pagoh: Pembangunan kompleks latihan nanas bersepadu seluas 16 ekar di Pagoh, Johor sebagai Pusat Kecemerlangan TVET.

ii. Harmonisasi Standard: Penyelarasan standard dalaman LPNM dengan National Occupational Skills Standard (NOSS) bagi memastikan kualiti latihan yang diiktiraf.

iii. Pengiktirafan Pakar: Melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT), pegawai LPNM yang berpengalaman lebih 10 tahun berpeluang memperoleh Persijilan SKM.

iv. Pembangunan Personel: Melaksanakan kursus induksi bagi melantik Pegawai Penilai Verifikasi (PPV) dalam kalangan warga kerja LPNM demi kelestarian tenaga pakar.

Kerjasama ini merupakan langkah proaktif dalam mentransformasikan modal insan sektor nanas negara, merangkumi aktiviti huluan (upstream) sehingga ke hiliran (downstream). Semoga sinergi ini memacu industri nanas Malaysia ke tahap yang lebih kompetitif dan mampan!

#JPK #LPNM #BPKLP #TVET #SektorNanas #KemahiranMalaysia

Image