30 Januari 2026, SHAH ALAM – Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) telah menghadiri Mesyuarat Permulaan (Kick-Off Meeting) bagi gerak kerja pengiktirafan pensijilan profesional antara The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT) dan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) yang diadakan di pejabat Badan Peneraju Industri (ILB) CILT Malaysia, Shah Alam.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Presiden CILT Malaysia, YBrs. Prof. Ts. Dr. Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussien, FCILT, manakala delegasi JPK diketuai oleh Pengarah Bahagian Hubungan Industri dan Kerjasama Strategik (BHIKS), YBrs. Puan Rosnoizam binti Abd. Majid.
Mesyuarat ini bertujuan membincangkan hala tuju persijilan bidang logistik di peringkat nasional melalui penyetaraan pensijilan antara program CILT dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), pelaksanaan pensijilan pekerja industri logistik menerusi Kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT), serta cadangan pembangunan National Occupational Skills Standards (NOSS) bagi bidang logistik.
Secara keseluruhan, inisiatif ini merupakan langkah strategik ke arah pemantapan kolaborasi antara JPK dan CILT Malaysia dalam memperkasa sistem pensijilan kemahiran sektor logistik agar lebih bersepadu, relevan dan sejajar dengan keperluan industri semasa.
