IMPACT 2025 : MAJLIS PENYERAHAN SIJIL PELANTIKAN INDUSTRY LEAD BODY (ILB)

14 Oktober 2025 | Sepang - Majlis Penyerahan Sijil Pelantikan Industry Lead Body (ILB) bagi tahun 2025 telah berlangsung dengan penuh meriah di Hotel Sama-Sama KLIA, Sepang. Majlis ini menyaksikan penyerahan sijil pelantikan kepada 18 ILB bagi tempoh 2025–2027, serta pelantikan empat (4) ILB baharu iaitu JAKIM, LPPKN, PKKM dan MWJS — menjadikan keseluruhannya 33 ILB aktif di bawah seliaan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Pelantikan ILB ini mencerminkan komitmen berterusan JPK dalam memperkukuh ekosistem TVET negara melalui jalinan strategik bersama industri, agensi kerajaan serta badan profesional. Inisiatif ini turut menjadi platform penting dalam memastikan program latihan kemahiran negara kekal relevan dengan keperluan pasaran semasa serta menyokong aspirasi negara ke arah pembangunan tenaga kerja mahir, berdaya saing dan berimpak tinggi.

Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh Ts. Zuleah binti Darsong, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, yang dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada semua ILB atas komitmen dan kerjasama erat dalam memperkasa pelaksanaan agenda TVET negara. Beliau turut menegaskan bahawa peranan ILB amat penting dalam menyumbang kepada pembangunan standard kemahiran, pengiktirafan industri serta pelaksanaan latihan berasaskan keperluan sebenar pasaran pekerjaan.

Image
Image