16 Ogos 2025 - Malaysian Textile and Apparel Centre (MATAC) telah menerima jemputan sebagai penceramah dalam sesi Taklimat Industri sempena Hari Kerjaya TVET ILKBS Peringkat Zon Tengah 2025 yang telah berlangsung di Institut Kemahiran Sukan Negara (IKSN), Banting, Selangor.
Sesi taklimat telah disampaikan oleh Puan Hasnah Ahmad, Pengarah Eksekutif MATAC, yang membawakan pembentangan bertajuk “Kemajuan Teknologi dalam Bidang Fesyen Pakaian Sukan di Malaysia”. Pembentangan ini memberi tumpuan kepada perkembangan terkini teknologi dalam industri fesyen sukan serta peranan strategik inovasi dalam meningkatkan daya saing sektor tersebut di peringkat nasional dan global.
Program ini telah dihadiri oleh para pelajar dari pelbagai bidang pengajian termasuk Fesyen dan Jahitan, Terapi Sukan, Kejuruteraan, serta Perdagangan Digital, yang mewakili Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dari seluruh negeri Selangor.
Penyertaan MATAC dalam program ini mencerminkan komitmen berterusan organisasi dalam menyokong pembangunan modal insan berkemahiran tinggi selari dengan aspirasi TVET negara.



