14 Ogos 2025, Sungai Petani, Kedah – Sesi Pocket Talk & Dialog bersama Badan Peneraju Industri (ILB) Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) Zon Utara telah menghimpunkan lebih 150 pemilik syarikat keselamatan bersama wakil agensi penguatkuasaan seperti IPD Bukit Aman, PERKESO, Jabatan Imigresen Malaysia, LHDN dan JTK.
Bertemakan “Transformasi Tenaga Mahir Industri Keselamatan & Sekuriti: Peningkatan Kemahiran Melalui Pensijilan Kemahiran Malaysia”, sesi ini memberi tumpuan kepada promosi Occupational Framework N80 sebagai panduan pembangunan kemahiran dan laluan kerjaya sektor keselamatan, serta memperkenalkan 23 Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) dalam bidang perkhidmatan keselamatan yang menjadi rujukan industri untuk memastikan pekerja memiliki kompetensi diiktiraf melalui Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
YBrs. Ir. Ts. Dr. Azmi bin Ahmad hadir mewakili Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran (KPPK), manakala Encik Mohd Azhar bin Mohd Azmi mewakili Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Wilayah Utara untuk membina jaringan strategik (rapport) bersama pemain industri keselamatan yang berminat terhadap produk pensijilan JPK seperti Akademi Dalam Industri (ADI) dan Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) melalui Penilaian Amali.
Sesi ini menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama strategik, memacu kesedaran industri terhadap penggunaan Occupational Framework N80 dan 23 NOSS, serta merancang langkah susulan bagi menjadikan pensijilan kemahiran sebagai standard profesional industri keselamatan negara.



