JBPM : SEMINAR ORGANISASI KESELAMATAN KEBAKARAN, BADAN PENERAJU INDUSTRI (ILB) BIDANG KEBOMBAAN TAHUN 2025 NEGERI PAHANG

SEMINAR ORGANISASI KESELAMATAN KEBAKARAN, BADAN PENERAJU INDUSTRI (ILB) BIDANG KEBOMBAAN TAHUN 2025 NEGERI PAHANG

Zenith Hotel, Kuantan,, 27 Mei 2025

Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato' Indera Nazri bin Abu Bakar, hari ini telah merasmikan Seminar Organisasi Keselamatan Kebakaran Tahun 2025 anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang. Majlis perasmian ini diadakan di Zenith Hotel, Kuantan, dan beliau hadir sebagai wakil rasmi kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang.

Seminar ini menghimpunkan lebih 500 peserta daripada pelbagai sektor termasuk pemain industri tempatan, kontraktor, golongan profesional serta wakil-wakil dari premis kerajaan – khususnya bangunan yang memiliki Sijil Perakuan Bomba (FC).

Penganjuran seminar ini bertujuan untuk:

i. Meningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan tentang pengurusan keselamatan kebakaran di tempat kerja dan premis awam.

ii. Memperkukuh kerjasama antara JBPM dan sektor swasta serta agensi kerajaan dalam mempertingkatkan tahap pematuhan keselamatan kebakaran.

iii. Menyediakan platform perkongsian ilmu, cabaran dan amalan terbaik dalam pelaksanaan sistem keselamatan kebakaran.

 

Seminar ini turut dimeriahkan dengan penyertaan 10 buah booth pameran yang memfokuskan kepada teknologi dan perkhidmatan keselamatan kebakaran, termasuk pameran sistem pengesan asap, peralatan pemadam kebakaran automatic serta sistem keselamatan bangunan pintar. Antara pengisian menarik sepanjang seminar termasuk:

i. Pembentangan teknikal oleh pakar JBPM mengenai keperluan semakan FC dan pematuhan undang-undang berkaitan keselamatan kebakaran.

ii. Sesi dialog interaktif bersama pegawai kanan JBPM dan pihak industri.

iii. Perkongsian kes kajian dan pengalaman lapangan daripada organisasi yang telah berjaya mengurus sistem keselamatan kebakaran secara efektif.

 

Dalam ucapannya, Dato’ Indera Nazri menyatakan bahawa seminar seperti ini penting bagi memastikan semua pihak mengambil tanggungjawab terhadap keselamatan premis masing-masing. Beliau menegaskan bahawa elemen keselamatan kebakaran tidak seharusnya dianggap sebagai pilihan, tetapi merupakan keperluan asas yang mesti diberi perhatian serius.

 

Pengarah JBPM Negeri Pahang, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Mohd Razam bin Taja Rahim, turut menyampaikan harapan agar seminar ini menjadi pencetus kepada budaya kerja yang lebih selamat dan berkesedaran tinggi terhadap risiko kebakaran, terutamanya menjelang musim perayaan Hari Raya Aidiladha serta musim cuti sekolah yang semakin hampir.

 

Seminar Organisasi Keselamatan Kebakaran ini membuktikan komitmen berterusan JBPM Negeri Pahang dalam mendekatkan agensi dengan komuniti dan sektor industri, ke arah mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk semua.

Image
Image
Image
Image