SEMINAR ORGANISASI KESELAMATAN KEBAKARAN, BADAN PENERAJU INDUSTRI (ILB) BIDANG KEBOMBAAN TAHUN 2025 JBPM TERENGGANU
KUALA TERENGGANU, 28 Mei 2025
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Terengganu hari ini telah menganjurkan Seminar Organisasi Keselamatan Kebakaran: Badan Peneraju Industri (ILB) Bidang Kebombaan Tahun 2025 bertempat di Marina Duyong & Resort, Kuala Terengganu.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang Setia TPjB Abdul Razak bin Muda, Pengarah Bahagian Latihan, JBPM yang turut menegaskan kepentingan keterlibatan industri dalam memperkukuh budaya keselamatan kebakaran di negara ini.
Seminar ini menghimpunkan lebih 450 peserta yang terdiri daripada wakil industri, agensi kerajaan, profesional keselamatan, pengendali fasiliti serta pengurus premis. Penganjuran ini bertujuan untuk:
i. Menyampaikan maklumat terkini berkaitan dasar dan hala tuju kebombaan sebagai bidang latihan teknikal di bawah ILB.
ii. Meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang pengurusan keselamatan kebakaran di peringkat organisasi.
iii. Mengeratkan kerjasama antara JBPM dan industri dalam usaha memperkasa sistem keselamatan kebakaran di tempat kerja.
iv. Menjadi platform perkongsian cabaran, amalan terbaik dan inisiatif inovatif dalam pengurusan kebakaran.
Dalam ucapannya, YS TPjB Abdul Razak menekankan bahawa kejayaan sesuatu sistem keselamatan kebakaran bergantung kepada komitmen semua pihak, terutama sektor industri, dalam menjadikan keselamatan sebagai budaya kerja dan bukan sekadar pematuhan undang-undang.
Seminar ini mencerminkan usaha JBPM Negeri Terengganu untuk terus mendekatkan agensi dengan komuniti industri serta memperkukuh peranan Malaysia sebagai negara yang mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.



